REBANA UBI


Pengenalan
Rebana ubi merupakan sejenis alat gendang yang bersaiz besar dan diklasifikasikan sebagai alat membranofon. Alat muzik ini dimainkan secara ensembel dan popular di negeri Kelantan.

Gaya Persembahan
Sebuah rebana ubi dimainkan oleh dua orang. Biasanya memerlukan enam buah gendang dengan 12 orang pemain. Rebana ubi dipalu dengan pemukul yang berbalut kain pada hujungnya. Ensembel rebana ubi menghasilkan pelbagai corak irama. Tiada alat bermelodi digunakan. Semasa persembahan, terdapat dua kumpulan yang memainkan corak irama yang berbeza. Satu kumpulan memainkan rentak asas (down beat) dan satu kumpulan lagi memainkan rentak menyilang (up beat).

Fungsi


  1. Dimainkan dalam majlis keramaian di kampung-kampung pada musim menuai.

  2. Pertandingan rebana ubi antara kampung kerap diadakan di Kelantan.

  3. Turut diadakan di majlis-majlis pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Teknik


Permainan kedua-dua kumpulan secara berselang-seli ini akan menghasilkan corak irama yang berterusan. Pada masa yang sama seorang pemain solo akan memainkan corak irama meningkah secara improvisasi. Paluan rebana ubi menghasilkan bunyi 'tak' (di tengah rebana, nada rendah) dan 'dung' (di tepi permukaan kulit, nada tinggi).


Seorang pemain solo memainkan rentak yang tersendiri sementara dua atau tiga orang lagi sebagai peningkah. Untuk menamatkan sesebuah lagu, pemain solo akan memberikan isyarat penamat dengan paluan yang kuat pada rentak-rentak tertentu. Lagu yang dimainkan dalam ensembel rebana ubi berasaskan lagu wayang kulit Kelantan seperti lagu 'Pak Dogol', lagu 'Perang', dan lagu 'Hulubalang'. Paluan menggunakan tangan juga digunakan dalam permainan ensembel ini bagi menghasilkan bunyi yang berbeza daripada bunyi yang dihasilkan oleh paluan yang menggunakan alat pemukul.