TABLA DAN BAYA


Pengenalan
Tabla dan baya merupakan sepasang gendang yang diklasifikasikan sebagai alat membranofon yang popular dalam muzik tradisional India. Tabla dan baya berperanan sebagai dram utama bagi mengawal rentak, detik, serta tempo dan dimainkan oleh seorang pemain. Tabla dan baya juga mula diserapkan penggunaannya ke dalam muzik pop Melayu moden, Dangdut, dan muzik Ghazal.

Ciri-ciri
Tabla diperbuat daripada kayu manakala baya diperbuat daripada logam. Permukaan dan tali penegang kedua-duanya diperbuat daripada kulit kambing. Pada bahagian atas permukaan kulit tersebut terdapat bulatan hitam yang dinamakan 'pes'. Pes diperbuat daripada campuran dua bahan iaitu beras dan besi. Tempekan pes pada permukaan kulit ini menghasilkan suatu bunyi yang unik apabila dimainkan.

Satu set tabla mengandungi dua buah gendang berlainan saiz. Gendang kecil dikenali sebagai tabla/dahina, manakala gendang besar dikenali sebagai baya. Dari segi bunyi pula tabla/dahina menghasilkan pic yang lebih tinggi berbanding baya.